Valentino Rossi umumkan persaraan – tidak akan berlumba musim hadapan

Juara Dunia 9-kali Valentino Rossi ternyata memberi impak yang besar dalam sukan dua roda. Menjadi Juara Dunia 7 kali dalam kelas perdana, 2 lagi dalam kategori 125cc dan 250cc, Valentino Rossi memberi inspirasi bukan sahaja kepada pelumba-pelumba, malah kepada peminat-peminat MotoGP.

Valentino Rossi umumkan persaraan di sesi sidang media khas di Austria

Pada awal musim ini, Valentino Rossi secara terbuka berkongsi beliau akan membuat keputusan sama ada akan terus berlumba dengan menilai prestasi sehingga pertengahan musim, dan akan mengumumkan keputusan selepas cuti musim panas. Dengan tersebarnya berita Valentino Rossi akan membuat sesi sidang media khas di Austria pada 4.15pm waktu tempatan (10.15pm waktu Malaysia), gagal menampilkan prestasi yang baik musim ini, berada di tempat ke-19, dengan mengumpul 17 mata, ternyata berita pengumuman persaraan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Namun, sekiranya anda membesar dengan melihat Valentino Rossi berlumba sepanjang karier beliau, walaupun dijangka, perasaan sedih itu tetap ada.

GP Styria

Dalam sesi sidang media sebentar tadi, Valentino Rossi berkata,

“Saya ada katakan musim ini saya akan mengambil keputusan berkenaan masa depan saya selepas cuti musim panas”

“Saya memutuskan untuk berhenti pada akhir musim, dan sayangnya ini akan menjadi musim terakhir saya sebagai pelumba MotoGP”

“Sukar, ini adalah saat yang sangat menyedihkan kerana sukar untuk saya ungkap dan mengetahui bahawa tahun hadapan saya tidak akan berlumba bersama jentera”

“Bagaimanapun, ia (perjalanan) ini sangat hebat, saya sangat menikmati (perjalanan) ini. Perjalanan ini adalah perjalanan yang panjang dan sungguh menyeronokkan”

“Saya mempunyai momen yang tidak dapat dilupakan bersama dengan semua pasukan saya, dengan semua yang bekerja bersama saya. Jadi, tidak banyak yang saya boleh katakan, cuma ini”

Valentino Rossi kelihatan tenang dalam sesi sidang media sebentar tadi. Walaupun tidak akan beraksi musim hadapan, beliau masih akan berada di sekitar paddock bersama pasukan beliau sendiri, Aramco VR46, dengan Luca Marini (adik Valentino Rossi) sebagai salah seorang pelumba.

25 musim dalam Kejuaraan Dunia MotoGP, 22 musim dalam kelas perdana, 115 kemenangan GP, 65 posisi pole. Berlumba dari zaman bersama lagenda MotoGP yang lain seperti Max Biaggi, Sete Gibernau, Casey Stoner, Nicky Hayden, Jorge Lorenzo, dan kini bersama barisan pelumba muda yang menjadikan beliau sebagai sumber inspirasi dan mentor dalam perlumbaan MotoGP, ternyata Valentino Rossi berada dalam kelas beliau tersendiri.

Gambar: MotoGP

Tambah Rossi,

“Ramai orang mengikuti sukan permotoran kerana saya. Saya memberi banyak hiburan kepada orang ramai pada petang Ahad (perlumbaan), ramai orang menikmati (perlumbaan)”

Gambar: MotoGP

Walaupun banyak komen dan kritikan yang diterima Valentino Rossi terutama pada musim ini, antara fakta yang tidak boleh disangkal adalah Valentino Rossi membawa sukan MotoGP kepada satu tahap yang lain, dan juga diakui “Living Legend” dan “Greatest of All Time (GOAT)”.