Valentino Rossi akan bermula dari petak 21 di GP Doha

Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Valentino Rossi menghadapi kesukaran dalam sesi kelayakan semalam, yang menempatkan beliau di sesi Q1, bersama dengan Juara Dunia MotoGP 2020, Joan Mir. Valentino Rossi mencatat keputusan sesi kelayakan yang terburuk dalam karier MotoGP beliau, dan akan bermula dari barisan ke-4 di petak yang ke-21.

“Bagi saya, keputusan ini bukan yang terburuk. Keputusan yang lebih teruk pernah saya dapat adalah ketika bersama Ducati”, jelas Rossi.

Valentino Rossi mencatat masa 1m54.881s, kira-kira 1.7 saat lebih lambat dari catatan masa beliau minggu lalu di GP Qatar. Turut mengakui sejak sesi latihan bebas pada hari Jumaat, beliau tidak ‘cukup kuat’ untuk mencatat masa yang pantas – yang boleh meletakkan beliau bersama kelompok hadapan. Kata Rossi,

 “Hari ini sangat sukar kerana rentak saya tidak cukup kuat (sepanjang GP Doha). Kami (Valentino Rossi dan pasukan) berusaha memperbaiki perasaan saya bersama jentera, dengan tayar belakang, tetapi sangat sukar”

“Saya dapati tayar saya kurang cengkaman, dan selepas beberapa pusingan, menjadi sangat sukar buat saya, dan rentak saya tidak berapa baik”

“Juga, dalam sesi kelayakan, dengan menggunakan tayar baru saya tidak berjaya mendapat perasaan yang saya boleh pergi dengan lebih laju”

Turut menambah, pada minggu lalu di GP Qatar, Valentino Rossi tidak mempunyai sebarang masalah dengan menggunakan tayar baru.

Pada musim ini, masalah tayar bukan sahaja dialami oleh Valentino Rossi, malah rata-rata pelumba banyak memberi komen mengenai masalah tayar, terutama di tayar belakang.

“Perlumbaan nanti akan sukar, saya akan bermula dari belakang”

“Jadi, kita akan lihat. Saya perlu berusaha untuk terus bersama dengan pelumba di kelompok hadapan

Valentino Rossi yang menggunakan jentera Yamaha ‘spesifikasi kilang’ (sama seperti Maverick Vinales dan juga Fabio Quartararo) mencatat keputusan yang buruk di sesi kelayakan berbanding dengan pelumba Yamaha yang lain. Maverick Vinales akan bermula dari petak ke-3, dan Fabio Quartararo dari petak ke-5. Rakan sepasukan, Franco Morbidelli yang menggunakan jentera Yamaha ‘spesifikasi A’ pula akan bermula dari petak yang ke-10.