“Tiada amaran di berikan oleh Race Direction” – Fabio Quartararo

Gambar: MotoGP

Fabio Quartararo tidak mendapat amaran melebihi had litar dari ‘Race Direction’.

Dalam sesi sidang media bersama Fabio Quartararo sebentar tadi, Fabio Quartararo menegaskan beliau tidak menerima sebarang amaran di ‘dashboard’ beliau. Fabio berkata beliau hanya mengetahui beliau melebihi had litar selepas mendapat mesej beliau perlu melalui ‘long lap’ kerana diberikan ‘long lap penalty’. Lebih mengejutkan, Fabio berkata mesej tersebut diterima apabila beliau sudah pun berada di pusingan terakhir, dan berada di jalan lurus selepas selekoh ‘long lap’.

Disoal sama ada kemungkinan beliau tidak perasan mesej tersebut, Fabio menegaskan beliau melihat ‘dashboard’ sebanyak tiga kali setiap pusingan, dan sekiranya ada mesej diterima, lampu oren di ‘dashboard’ akan menyala, malangnya beliau hanya menerima mesej ‘long lap penalty’, dan bukannya amaran. Turut mengakui sekiranya beliau menerima amaran dengan awal, beliau akan lebih berhati-hati untuk tidak melebihi had litar.

Sedikit informasi tambahan, rayuan tidak boleh dibuat untuk penalti ‘long lap’. Tetapi apabila disoal sama ada beliau akan memberitahu ‘Race Direction’ bahawa beliau tidak menerima mesej amaran tersebut, Fabio yang jelas kelihatan kecewa berkata beliau menerima keputusan tersebut dengan terbuka kerana sepanjang perlumbaan berlangsung beliau melebihi had litar (menyentuh kawasan hijau) sebanyak lima kali. Turut menambah, beliau mungkin akan berbincang dan mencadangkan pasukan untuk meletakkan mesej di ‘pit board’ sekiranya perkara sebegini berlaku lagi di masa akan datang.

Fabio Quartararo di berikan penalti 3s di akhir perlumbaan, dan menamatkan perlumbaan di P4, sekali gus menjadikan Pol Espargaro berada di P3, dan memperoleh podium di Litar Misano.