“Terima Kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong saya” – Hafizh

Hafizh Syahrin yang memulakan perlumbaan di posisi ke-20 menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 di Litar Sepang. Pelumba berusia 25 tahun itu dilihat tidak mampu menahan air mata ketika tamat sesi perlumbaan MotoGP sebentar tadi.

Pada musim lepas, Hafizh berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 bersama jentera Yamaha. Di sesi temu bual, Hafizh mengakui kecewa dengan keputusan tersebut namun sudah cuba yang terbaik untuk menamatkan perlumbaan di posisi yang lebih baik.

“Nasib tidak menyebelahi saya pada perlumbaan hari ini, tetapi saya dah cuba buat yang terbaik, dan saya cuba untuk berada kedudukan 15 teratas, dan bukan rezeki saya mengutip mata pada hari ini”

Turut menambah beliau gagal untuk mendapat rentak yang baik bersama jentera KTM RC16 dari hari pertama sehingga ke hari ini. Hafizh Syahrin yang akan ke kategori Moto2 musim hadapan bersama pasukan Angel Nieto berkata beliau yakin beliau mampu untuk memberi saingan musim 2020. Ketika diminta untuk mengulas prestasi Tom Luthi selepas berpindah semula ke kategori Moto2, Hafizh mengakui ianya sedikit sebanyak memberikan motivasi untuk beliau beraksi dengan baik musim hadapan.

Mengakui sedih untuk meninggalkan pasukan Red Bull KTM Tech 3, Hafizh Syahrin berjanji untuk menghabiskan perlumbaan di GP Valencia dengan baik sebelum ke Moto2 bersama pasukan Angel Nieto. Hafizh Syahrin optimis untuk kembali semula ke kategori MotoGP sekiranya beliau mampu memberikan prestasi yang baik di musim hadapan.

Hafizh Syahrin percaya ini adalah lumrah dalam dunia sukan dua roda dimana ada turun naiknya dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong beliau. Hafizh juga berharap bahawa sokongan penuh akan sentiasa diberikan kepada pelumba-pelumba negara.