Syabas Dan Tahniah Marshal SIC, Anda Terbaik

Setiap perlumbaan di litar semestinya ada Marshal yang akan menggalas tugas penting di setiap sudut-sudut yang telah ditetapkan. Marshal ini terdiri dari pelbagai diantaranya “Course Marshall”, “Flag Marshall”, “Fire Marshall”, “Recovery Marshall”, “Medical” dan “Pit Lane Marshall”. Setiap kategori mempunyai tugasan masing-masing untuk memastikan perlumbaan sentiasa berjalan lancar. Marshal Malaysia pernah dinobatkan sebagai Marshal yang terbaik di dunia, mereka melakukan tugasan dengan cekap dan lancar supaya tidak menghalang perlumbaan ketika ada pelanggaran yang berlaku.

“Course Marshall” memastikan keadaan litar dalam keadaan bersih, tiada objek yang boleh membahayakan pada pelumba dan memberi bantuan sekiranya sesebuah jentera terlibat dalam kemalangan keluar dari kawasan batu kerikil, bantuan juga diberikan sekiranya pelumban masih ingin meneruskan perlumbaan. Jika jentera tidak dapat dikeluarkan dari kawasan batu kerikil, “Recovery Marshall” akan menyusur masuk untuk menarik jentera ke luar dari litar dan menghantar ke paddock dengan menggunakan 4×4. Situasi ini juga bergantung kepada arahan dari menara kawalan perlumbaan. Tugas Pick Up Rider pula akan menghantar pulang pelumba kembali ke paddock, setelah menghantar pulang mereka akan memaklumkan kepada ketua sektor dimana pelumban yang bernombor “#00” telah sampai ke paddock, penghantaran jentera juga perlu dimaklumkan kepada ketua sektor setelah tiba di paddock berkenaan.

Tugasan “Flagmen” perlu mengibarkan bendera untuk memberi petunjuk/amaran kepada pelumba yang berada di dalam litar ketika menghampiri kawasan tersebut. Contoh jika ada kemalangan berlaku di sudut selekoh kedua, “Flagmen” yang berada sebelum sudut selekoh kedua akan mengibarkan bendera kuning kepada pelumba di litar.

Diantara warna-warna bendera dan maksudnya

1) Bendera Hijau – Menyatakan keadaan litar selamat
2) Bendera Kuning – Menyatakan ada kemalangan berlaku di hadapan
3) Bendera Biru – Menyatakan kepada pelumba terakhir dimana pelumba yang mendahului perlumbaan menghampiri dan perlu memberi laluan untuk pelumba tersebut memotong
4) Bendera Merah Kuning – Menyatakan keadaan jalan di litar licin, perlu berhati-hati
5) Bendera Putih – Menyatakan ada pelumba di hadapan yang bergerak perlahan
6) Bendera Putih, X Merah – Menyatakan hujan mulai turun
7) Bendera Merah – Menyatakan perlumbaan dihentikan

“Fire Marshall”, pula memastikan jika ada kebakaran berlaku pada jentera perlu dipadamkan serta merta, manakala “Pit Lane Marshall” memastikan keadaan jalan di hadapan pit selamat untuk pelumba keluar dari paddock. “Medical” diperlukan sekiranya pelumba mengalami kemalangan yang berat sehingga menyebabkan kecederaan. Tugasan-tugasan mereka bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, mereka perlu berada di litar seawal pagi untuk memastikan perlumbaan berjalan lancar. Terima kasih, Tahniah dan Syabas buat Marshal-marshal yang bertugas di Sepang pada perlumbaan hujung minggu yang lalu.

sumber – Zamir┬áD3 sector recovery