“Step by Step” Menunjukkan Peningkatan Dari Pelumba Negara – Hafizh dan KIP

Semalam bermulanya sesi latihan di Qatar buat kategori Moto3 dan Moto2.

Buat yang masih tidak tahu, ada 3 pelumba negara yang akan bersaing dalam kejuaraan Moto3 dan Moto2 musim ini. Khairul Idham Pawi di Moto3, Hafizh Syahrin dan Kasma Daniel di Moto2. Namun begitu, Kasma Daniel tidak beraksi dalam sesi latihan di hari pertama semalam ekoran dari kederaan di jari beliau. Perlumbaan QatarGP yang dijadualkan pada 8hb Mac 2020 ini sudah pasti menjanjikan aksi-aksi yang terbaik untuk setiap pelumba mencari 25 mata penuh.

Untuk kategori Moto3, Rodrigo dari pasukan Gresini Moto3 racing mencatat masa terpantas di hari pertama (2:05.593), di ikuti dengan Arenas dari pasukan Aspar (2:05.943) dan Ogura dari pasukan Honda Asia (2:06.124). Khairul Idham Pawi dari pasukan Petronas Sprinta Racing mencatat masa ke-20 dengan catatan masa 2:07.751. Rodrigo, Ogura dan Khairul Idham Pawi menggunakan jentera Honda, manakala Arenas menggunakan KTM.

Khairul Idham Pawi – “Keadaan litar tidak berapa bagus pada sesi pertama dengan tiupan angin yang kuat, tetapi pada sesi kedua jentera dapat dikawal dengan baik. Kami belum mencuba apa-apa yang baru pada pada ujian pra-musim di Jerez. Permasalahan yang saya hadapi ketika ini pada bahagian belakang jentera semenjak di Jerez. Jika permasalahan ini dapat diselesaikan ianya adalah satu langkah besar dan dengan harapan dapat memperbaiki catatan masa saya.”

Bagi Moto2 pula, Navarro mencatat masa terpantas (1:59.168) di susuli oleh Vierge (1:59.400) dan Bastianini (1:59.421). Hafizh Syahrin mencatat masa ke-17 dengan catatan masa 2:00.141. Hafizh Syahrin menyatakan beliau mengalami sedikit kemalangan pada sudut selekoh ke-6, beliau juga memberitahu akibatnya adalah dari penurunan suhu litar sebanyak 10 darjah dari sesi kedua.

Hafizh Syahrin – “Hari pertama yang baik, saya mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Tetapi saya kecewa kerana ketika saya menggunakan tayar baru cuba untuk mendapatkan 1:59 saat, saya mengalami kemalangan kecil. Saya berasa yakin dengan jentera saya dengan tayar yang pernah digunakan dan kami berjaya melakukan 2:00 saat. Esok kita akan cuba untuk melakukan 1:59, hari pertama ini saya gembira kerana hanya kurang 1 saat perbezaan masa dengan pendahulu. Esok kita akan cuba lagi baik dan lagi pantas.”

Masih ada enam sesi untuk dua hari sepanjang hujung minggu ini, masih terlalu awal untuk kita rumuskan sesi ujian pra-musim terakhir ini di Qatar. Jadi apa pula keputusan hari ini? Sama-sama kita nantikan!

Untuk berita sukan dua roda, sila lawati MotoGP Mania Malaysia, MotortvMY, dan MMM Garage.

Photo – Petronas Sprinta & Aspar Team