SOP Dalam Penganjuran Sukan Permotoran Sedang Dijalankan

Semalam sidang media bersama Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir, selaku presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mengupas beberapa perkara termasuk Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk sukan permotoran, MotoGP, dan banyak lagi.

Dalam sidang media tersebut, Tan Sri Mokhzani, turut mengakui pihak MAM sudahpun menghantar cadangan SOP kepada kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan berharap mendapat kelulusan supaya perlumbaan dapat dijalankan. Cadangan SOP tersebut merangkumi cadangan garis panduan secara bertulis, juga secara visual (paparan video).

Difahamkan, cadangan garis panduan yang dihantar kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan adalah cadangan SOP yang ketiga, dan pihak MAM didalam proses untuk meyakinkan kerajaan untuk membenarkan sukan ini dijalankan. Ketika ditanya bila perlumbaan dijangka akan dijalankan, Tan Sri Mokhzani berkata, pihak MAM masih belum pasti kerana perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan terlebih dahulu. Dan apabila mendapat kelulusan, masa dua hingga tiga bulan diperlukan untuk menganjurkan sesuatu perlumbaan, terutama apabila melibatkan televisyen. Beliau turut optimis perlumbaan dapat diadakan pada bulan September sekiranya tiada kluster baru yang melibatkan sukan permotoran. Turut difahamkan perlumbaan akan diadakan dalam litar tertutup, tanpa penonton (closed doors).
Tan Sri Mokhzani turut mengupas penganjuran perlumbaan perlu diadakan dari perlumbaan yang kecil terlebih dahulu, ke perlumbaan yang besar.

“Kita akan bermula dengan perlumbaan go-kart, diikuti dengan Siri National Malaysia Championship (MC), dan Cubrix di SIC, sebelum meneruskan di litar lain”.

Buat masa ini, SOP yang diguna pakai di Litar Sepang adalah masih dalam tempoh percubaan (trial run). Difahamkan penggunaan Litar Sepang adalah berhubung banyak kawalan pematuhan SOP di Litar tersebut, dan SOP yang sama akan diguna pakai di litar yang seterusnya. Tan Sri Mokhzani berkata sekiranya SOP diluluskan, pihak KBS akan memutuskan berapa bilangan yang boleh berada di paddock dalam penganjuran aktiviti permotoran.

Disoal mengenai penganjuran sukan MotoGP di Malaysia yang sepatutnya berlangsung November ini, beliau berkata pemegang hak MotoGP (DORNA) masih mahukan perlumbaan dianjurkan di Malaysia dengan tontonan ramai, namun, kerajaan Malaysia masih menghalang perhimpunan yang melibatkan orang ramai dan masih menghalang lintasan sempadan. Mengakui masih dalam perbincangan dalam mengambil kira aspek penonton di Malaysia, meskipun segala keputusan diputuskan oleh kerajaan.

Susulan krisis penulan COVID-19, sukan permotoran turut terkesan akibat pembatalan dan penangguhan perlumbaan, juga aktiviti trek terpaksa dihentikan.