Pihak Penaja Masih Lagi Komited Bersama Kami – Dato Razlan

Akibat perintah kawalan pergerakan yang bermula dari 18 Mac sehingga 14 April 2020 masih lagi giat dijalankan, pihak SIC telah membuat sidang media dengan menggunakan aplikasi Hangout Meet. Beberapa media turut serta dalam sidang temuramah ringkas untuk menanyakan beberapa perihal terbaru dan perancangan pihak SIC dan Petronas SRT dalam situasi pandemik COVID-19. Beberapa persoalan telah disua kepada Dato Razlan mengenai perlumbaan yang telah ditangguh pada awal tahun ini.

Ketika disoal mengenai tiket penjualan MotoGP untuk pusingan di Malaysia, Dato’ Razlan berkata semenjak krisis COVID-19 semakin menular, tiada tiket yang telah terjual, dan antara maklum balas yang diterima adalah kemungkinan belakunya penangguhan perlumbaan sekiranya krisis ini berlanjutan. Mengakui sentiasa berhubung dengan pihak DORNA sepanjang tempoh PKP, Dato’ Razlan berkata buat masa ini tiada sebarang perubahan untuk pusingan di Sepang musim ini. Turut menambah, kemungkinan sekiranya masalah COVID-19 ini berterusan, paling lambat untuk musim MotoGP 2020 akan bermula adalah pada bulan Ogos, sekurang-kurangnya untuk 10 hingga 15 pusingan perlumbaan. Dato Razlan juga tidak menolak kemungkinan perlumbaan akan terpaksa diadakan sebanyak 2 kali setiap pusingan seperti perlumbaan kejuaraan WSBK. Ianya akan menjadi perlumbaan yang lebih padat bermula dari Ogos sehingga Disember 2021.

Pihak media turut menyoal mengenai pihak penaja, dan Dato’ Razlan berkata buat masa ini tiada pihak menaja yang menarik diri walaupun sedang berhadapan dengan krisis COVID-19. Beliau turut berkata pihak Petronas masih komited dalam menaja pasukan Petronas Yamaha SRT. Menjawab berkenaan berita pihak DORNA ada memberi bantuan kepada pasukan setiap pasukan Moto3 dan Moto2, Dato’ Razlan berkata pihak DORNA membantu pasukan dari semua kategori dalam aspek kewangan seperti pembayaran gaji krew sehingga perlumbaan akan bermula.

Apa yang akan berlaku sekiranya tiada perlumbaan yang akan diadakan musim ini? Perlumbaan MotoGP, COVID-19, Perancangan 2021

Sedia maklum, kontrak Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli akan tamat musim ini, dan Quartaro sudah pun menandatangani kontrak bersama pasukan Monster Energy Yamaha musim 2021. Jadi, apa yang akan berlaku kepada mereka sekiranya MotoGP musim ini terpaksa dibatalkan? Dato’ Razlan berkata sekiranya keadaan semakin teruk dan musim terpaksa dibatalkan, kemungkinan segala persediaan 2020 akan dianjakkan pada musim 2021, dengan kata lain, bermakna kontrak 2020 akan dianjakkan kepada musim 2021.

Namun begitu, sekiranya musim tetap diteruskan dan kontrak tamat, antara pelumba yang berada dalam senarai untuk musim 2021 adalah Franco Morbidelli, Xavi Vierge, dan beberapa pelumba muda yang lain. Hafizh Syahrin jika beliau berjaya dalam Moto2, kita tidak menolak nya untuk ke MotoGP. Tetapi beliau perlu membuktikan dan perlu bekerja keras untuk mendapatkannya. Dato’ Razlan Razali menekankan matlamat pasukan Petronas Yamaha SRT adalah untuk mengasah bakat pelumba muda dan berbakat. Kenyataan ini sekali gus menutup kemungkinan Valentino Rossi atau Jorge Lorenzo akan mengambil tempat tersebut.

Untuk pasukan Moto2 dan Moto3, Dato’ Razlan berkata, sekiranya Adam Norrodin berjaya mendapat tempat ke-5 teratas dalam kejuaraan CEV, Adam akan diserap ke kategori Moto2. Untuk pasukan Moto3, Dato’ Razlan meletakkan sasaran John McPhee untuk menjadi juara Dunia musim ini, dan sekiranya mencapai sasaran, McPhee juga akan diserapkan ke Moto2. Beliau turut berhasrat untuk menyerap bakat baru yang sedang mencipta nama dalam kejuaraan Idemitsu Asia Talent Cup (ATC), Syarifuddin Azman, atau lebih dikenali sebagai Damok ke kategori Moto3 untuk pasukan Petronas SRT musim hadapan.

Pihak SIC menangguhkan sebarang acara yang dianjurkan sehingga tempoh PKP tamat, dan sekiranya PKP berakhir pada hujung bulan April, sebarang kejuaraan yang dianjurkan di Litar Sepang akan bermula seawall bulan Jun.