Petronas Sepang Racing Team Optimis Sambung Kontrak Bersama Yamaha

Image: Petronas Yamaha Sepang Racing Team

Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing tampil dengan barisan pelumba yang berbeza dari musim lepas. Bersama Juara Dunia 9-kali, Valentino Rossi dan Franco Morbidelli, yang juga merupakan protégé kepada Valentino Rossi. Pada tahun lepas, pasukan Sepang Racing Team merangkul 6 kemenangan Bersama Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli. Franco Morbidelli memenangi 2 perlumbaan dan 3 podium musim lepas dengan hanya 13 mata di belakang juara dunia 2020, Joan Mir.

Buat pengetahuan, ini adalah tahun pertama Valentino Rossi kembali berlumba dengan pasukan satelit sejak tahun 2001. Valentino Rossi pada musim ini akan mendapat jentera spesifikasi yang sama iaitu ‘spesifikasi kilang’ bersama dengan dua pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP iaitu Maverick Vinales dan juga Fabio Quartararo. Franco Morbidelli pula akan menggunakan jentera spesifikasi-A Yamaha.

Namun dalam sesi sidang media bersama Prinsipal Pasukan Sepang Racing Team, Dato Razlan Razali berkata akan terdapat kemas kini kepada jentera spesifikasi-A Franco Morbidelli, namun belum lagi diketahui, apa dan bila kemas kini tersebut akan diterima.

Sedia maklum kontrak Sepang Racing Team dan Yamaha akan tamat pada musim ini, dan adakah kerjasama antara SRT dan Yamaha akan diteruskan?

Image: Bikes Republic

Menurut Dato Razlan Razali, draf pertama cadangan projek untuk kerjasama kontrak disambungkan sudah pun disediakan, dan perbincangan sudah pun dibuat pada Disember 2020 dan dijangka mencapai kata putus pada Mei atau Julai nanti.

Mungkin sebelum ini hangat diperkatakan tentang kemungkinan pasukan Sepang Racing akan menggunakan jentera Suzuki, Dato Razlan mengesahkan terdapat perbincangan bersama pengeluar-pengeluar yang berminat untuk berkerjasma,

“Kami sentiasa terbuka untuk mendengar dan kami lihat segala kemungkinan”

Namun berkata segala keputusan yang dibuat perlu juga mengambil kira kata dan suara dari penaja rasmi pasukan iaitu Petronas – dan buat masa ini adalah untuk terus bersama Yamaha.

Ada khabar angin yang mengatakan terdapat ketidak puasan hati pasukan SRT bersama Yamaha sepanjang 2 tahun berkerjasama, Dato Razlan Razali tidak menidakkan namun berkata perkara tersebut sudahpun di suarakan kepada Yamaha,

“Kami sudah suarakan, tentang bagaimana kami rasa kami hanya seperti pelanggan yang membayar, dan bukan rakan kongsi. Kami rasa hanya kami yang mahukan lebih, dan bukan pihak sana”

Namun maklum balas tersebut diterima dengan terbuka oleh Yamaha, dan cadangan projek Yamaha untuk tahun 2022 dan keatas adalah lebih dari apa yang diterima dari 2 tahun yang lalu.

Untuk rekod, sejak kemunculan pertama dalam kategori MotoGP pada tahun 2019, pasukan Sepang Racing Team telah menerima anugerah ‘Best Independent Team’ 2 tahun berturut.