Pasukan Aramco VR46 di jangka akan mengumumkan jentera yang akan digunakan pada musim 2022 – minggu hadapan

Gambar: Petronas Yamaha Sepang Racing Team

Sebentar tadi pasukan Gresini Racing secara rasmi mengumumkan kerjasama dua tahun bersama, Ducati, dan akan kembali sebagai pasukan satelit bersama barisan pelumba, Fabio Di Giannantonio dan Enea Bastianini. Secara rasminya, 6 jentera Ducati dilihat akan bersaing dalam kategori MotoGP musim hadapan bersama Ducati Corse, Pramac Ducati dan juga Gresini Racing.


Namun begitu, terdapat ura-ura bahawa pasukan Aramco VR46, yang dimiliki oleh Valentino Rossi, juga kerjasama Saudi Aramco sebagai penaja rasmi, akan menggunakan jentera Ducati musim hadapan. Sekiranya berita ini benar, 1/3 jentera di litar pada musim 2022 adalah jentera Ducati – 8 daripada 24 jentera.


Dalam sesi temu bual, Valentino Rossi berkata, pengumuman rasmi berhubung dengan jentera yang bakal digunakan musim hadapan di jangka akan diumumkan pada minggu hadapan – selepas perlumbaan GP Jerman, dan sebelum pusingan di Assen.

Gambar: Esponsorama Racing


Sudah hampir pasti Luca Marini, adik kepada Valentino Rossi akan menjadi pelumba pasukan tersebut. Persoalannya sekarang siapakah pelumba yang akan menjadi rakan sepasukan Luca Marini dalam Aramco VR46?

Walaupun tidak mustahil Valentino Rossi menjadi pelumba pasukan beliau sendiri, Valentino Rossi dijangka akan memberi keputusan mengenai masa depan beliau selepas musim panas nanti. Pelumba lain yang turut dikaitkan bersama Luca Marini dalam pasukan Aramco VR46 adalah pelumba Moto2, Marco Bezzecchi.