MotoGP: Rins Menolak Tawaran Pasukan Lain

Pasukan Suzuki telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi sidang media bersama Alex Rins semalam.

Memandangkan banyak negara berada dalam perintah kawalan pergerakan, sesi sidang media tersebut diadakan secara maya, dan pelbagai persoalan di ajukan kepada Alex Rins.

Antara perkara yang dibincangkan adalah persediaan yang dilakukan sepanjang tempoh kawalan pergerakan. Alex Rins berkata tidak banyak yang beliau boleh lakukan kerana peraturan kawalan pergerakan di sana hanya membenarkan penduduk keluar sejauh 1km dari rumah masing-masing. Jadi beliau banyak menghabiskan masa dengan latihan senaman, latihan basikal, juga meluangkan masa bersama tunang dan anjing peliharaannya di rumah.

Mengulas berkenaan dengan pembaharuan kontrak bersama pasukan Suzuki, Alex berkata, beliau menerima tawaran dari pasukan lain, namun hanya meneruskan perbincangan dengan tawaran dari pasukan Suzuki. Perbincangan tersebut bermula sejak pusingan di Argentina tahun lepas.

Ekoran dari peraturan terbaru yang dikeluarkan dari pihak DORNA, di mana semua pasukan akan menggunakan jentera yang sama pada musim 2021, Alex Rins mengakui tidak mempunyai masalah, dan berkata hasil dari sesi ujian sebelum ini, jentera Suzuki berada dalam keadaan yang baik.

Turut mengakui, tidak banyak perubahan yang berlaku pada dirinya sepanjang krisis COVID-19, namun beliau juga terfikir tentang masa depan, dan perkara yang perlu beliau lakukan sekiranya sudah tidak berlumba.

Inisiatif yang baik dari pihak Suzuki untuk kekal memberi informasi pelumba-pelumba mereka kepada pihak media dan pencinta MotoGP.