MotoGP: Mengikuti Jejak Langkah Rossi Adalah Pilihan Hafizh

Baru-baru Dorna telah membuat sesi temu bual bersama pelumba MotoGP negara, ternyata dalam temu bual tersebut Hafizh Syahrin satu-satunya pelumba MotoGP Malaysia dari pasukan Tech 3 Yamaha adalah peminat Valentino Rossi. Hafizh juga mengakui ketika beliau menyertai perlumbaan “Pocket Bike”, beliau sudah mula meminati Valentino Rossi. Beliau kini yang berada di kedudukan 16 keseluruhan setelah 4 pusingan berlansung.

Hafizh Syahrin  – “Ketika saya menyertai perlumbaan ‘Pocket Bike’, Rossi sudah terkenal serta telah menjadi juara dunia beberapa kali dan saya ingin menjadi seperti beliau satu hari nanti. Pada perlumbaan MotoGP kedua, saya berada di belakang beliau untuk beberapa pusingan dan cuba mempelajari sebanyak mungkin daripada pelumba yang berpengalaman ini. Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi saya serta kemajuan yang saya lakukan dalam peringkat kelas utama ini.”

Pada kedudukan mata bagi ‘Rookie’ pula, Hafizh berada di posisi kedua di belakang Franco Morbidelli merupakan anak didik Valentino Rossi dengan perbezaan 4 mata.  Tambahan pula Hafizh menceritakan pengalaman beliau bersama pasukan Tech3 serta krew pasukan yang banyak membantu beliau dari hari pertama hingga sekarang.

Hafizh Syahrin – “Ketika ujian pra-musim pertama kali saya sertai di Buriram adalah sangat sukar, tetapi akhirnya berjalan dengan lancar kerana krew pasukan banyak membantu dan mengajar saya. Akhirnya saya berasa sangat puas hati pada perlumbaan pertama kerana dapat mengutip mata.”

Seperti yang kita tahu Hafizh berjaya berada di posisi ke-14 pada perlumbaan pertama dan kedudukan ke-9 untuk perlumbaan kedua di Argentina. Malang buat beliau yang tersungkur pada perlumbaan di Austin dan berada di posisi ke-16 pada perlumbaan pertama jelajah Euro di Jerez. Beliau yang mengalami kecederaan setelah terlibat dalam kemalangan berbasikal ketika menjalani sesi latihan bersama jurulatih peribadi beliau.

Hafizh Syahrin  – “Saya suka pasukan ini kerana ia seperti sebuah keluarga. Nicolas Goyon selaku ketua krew yang berfikir seperti seorang pelumba yang banyak mengajar serta memberi maklumat yang kepada saya. Hervé Poncharal walaupun agak sedikit gila, tetapi beliau sangat mesra. Pasukan ini telah membuktikan banyak melahirkan pelumba ‘Rookie’ yang kuat seperti Zarco dan Jonas Folger. Saya cuba untuk melakukan seperti mana mereka lakukan dengan segera, mengubah cara tunggangan saya, pengalaman dari Moto2 tidak banyak yang boleh dibawa. Ini kerana ianya sangat berbeza dengan MotoGP, kuasa yang lebih tinggi, penggunaan tayar yang berbeza. Walaubagaimanapun Saya rasa Yamaha adalah jentera yang sesuai dengan diri saya”

photo – Monster Yamaha Tech 3, Yamaha Racing