MotoGP: Kenapa, Yamaha Menyambung Kontrak Vinales Sehingga 2022

Ramai yang lebih gemar melihat Maverick Vinales berlumba bersama pasukan Suzuki pada tahun 2015 dan 2016. Ianya adalah satu fenomena dimana peminat-peminat Suzuki bersorak dengan kehebatan Vinales ketika itu. Ini kerana sekembalinya Suzuki setelah berehat selama tiga tahun dari arena sukan MotoGP. Tetapi Yamaha dengan pantas mengorak langkah mengambil Maverick Vinales untuk menggantikan tempat Jorge Lorenzo pada tahun 2017.

Prestasi Vinales boleh dikatakan lebih konsisten pada 2019 walaupun beliau “lambat panas” setiap kali perlumbaan. Beliau lebih menyerlah ketika sesi latihan dan sesi kelayakan, tetapi ketika perlumbaan beliau tampak sukar untuk memberikan impak saingan yang lebih baik terhadap pelumba lain. Mungkin permasalahan ini berpunca daripada jentera Yamaha itu sendiri ataupun beliau yang lebih gugup pada hari perlumbaan. Maverick Vinales boleh dikatakan mempunyai gaya tunggangan yang agresif tetapi beliau sukar untuk menyesuaikan diri dengan jentera M1 yang dikatakan besar buat beliau.

Ada pihak media antarabangsa menyatakan bahawa Ducati berminat untuk menggunakan khidmat Vinales pada tahun 2021, dan mungkin disebabkan ini membuatkan Yamaha mengambil langkah awal dengan menyambung kontrak beliau selama dua tahun sehingga 2022. Ini bermakna Yamaha yakin Mavercik Vinales akan dapat merebut gelaran juara dunia pertama beliau dalam masa tiga tahun ini. Manakala nasib rakan sepasukan Vinales masih lagi belum diketahui, yang terbaru mengenai Valentino Rossi berminat untuk bekerjasama dengan Yamaha Petronas pada 2021 tetapi masih dalam perbincangan.

Jadi tempat Rossi mungkin akan diambil oleh satu lagi pelumba berbakat yang menggemparkan dunia MotoGP pada tahun 2019. Walaupun dengan menggunakan Yamaha M1 spesifikasi yang kurang dari Yamaha M1 (kilang “factory”) tetapi Fabio Quartararo lebih menyerlah pada musim 2019. Pencapaian beliau sebagai pelumba muka baharu dengan memperoleh 6 “pole” dan 7 kali podium adalah sesuatu yang membanggakan Yamaha Petronas. Sekali gus menarik minat Yamaha Kilang “Factory” untuk mengikat beliau pada tahun 2021. Semestinya Yamaha tidak mahu kehilangan pelumba yang berbakat ini, pelumba yang mampu menumpaskan juara bertahan Marc Marquez.

Adakah Yamaha mampu kembali menyekat kemaraan Honda ataupun masih berulang dengan permasalahan lama mereka. Mampukah pelumba Yamaha menyekat juara bertahan pada musim 2020. Kemana arah tuju Rossi selepas 2020 dan kemana pula Fabio Quartararo. Adakah mereka akan bertukar tempat atau kekal. Masih terlalu awal untuk dirungkaikan.