MotoGP: Joan Mir komited – Sasar 5 posisi teratas musim 2020

Pelumba berusia 23 tahun yang berasal dari Sepanyol komited untuk berada dalam 5 posisi teratas musim ini. Di dalam sesi sidang media pasukan Suzuki Ecstar yang dilakukan secara maya, Joan Mir yang cedera pada hujung musim 2019 berkata beliau berada dalam keadaan fizikal yang baik, dan kekuatan beliau juga semakin pulih.

Ditanya mengenai kontrak yang disambung bersama pasukan Suzuki Ecstar, Joan Mir mengakui menerima tawaran daripada pasukan lain, namun tidak meneruskan perbincangan kerana ingin terus kekal bersama pasukan Suzuki. Turut menambah, Joan Mir percaya bahawa tempoh setahun pertama adalah tempoh untuk mengenali jentera, dan yakin beliau mampu memberi saingan yang baik musim ini. Peralihan ke pasukan lain mungkin akan menyebabkan beliau mengambil masa untuk memahami jentera.

Ketika disoal mengenai pelumba yang mampu memberi saingan sekiranya krisis COVID-19 tamat dan perlumbaan MotoGP dijalankan, Joan Mir tanpa ragu menyatakan, Jack Miller. Hal ini kerana, Jack Miller mempunyai rumah dan ladang yang besar, membolehkan Miller berlatih bersama motor beliau.

Joan Mir mengumpul 92 mata keseluruhan bersama pasukan Suzuki Ecstar musim lepas, dan menamatkan musim di tempat ke-12 dalam carta keseluruhan pelumba.