Moto3 – Perkembangan Terbaru, Persediaan & Perancangan Musim 2021 Oleh SuperKIP

Sesi sidang media bersama Khairul Idham Pawi atau lebih dikenali sebagai SuperKIP diadakan secara maya semalam. Banyak topik menarik yang dibincangkan, antaranya perkembangan terbaru KIP, sesi latihan, perancangan musim 2021, SOP dalam mengurangkan risiko COVID-19 dan banyak lagi.

Berita baik untuk kesemua peminat sukan dua roda, para pelumba kita sudah dibenarkan untuk ke luar negara dan beraksi dalam perlumbaan. Antara pelumba yang sudah pun berangkat semalam adalah pelumba-pelumba pasukan ZK Racing yang akan berlumba dalam Kejohanan FIM CEV Repsol di Portugal. Perlepasan ini adalah hasil dari kerjasama Menteri Belia dan Sukan, YB Reezal Merican bersama Majlis Keselamatan Negara dalam membenarkan pelumba-pelumba negara untuk terbang dan beraksi dalam kejohanan sukan dua roda ini.

Ketika ditanya mengenai aktiviti yang dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Khairul Idham Pawi berkata beliau banyak menghabiskan masa dengan latihan sebagai persediaan untuk perlumbaan, dan turut mengasah bakat dalam memasak. Ketika dibenarkan untuk merentas negeri, Khairul Idham Pawi turut berlatih bersama pelumba-pelumba pasukan ZK Racing di Litar Sepang tempoh hari.

Diuji dengan kecederaan musim lepas yang hanya membolehkan beliau untuk berlumba untuk tiga perlumbaan dalam kategori Moto2, Khairul Idham Pawi mengakui pada awalnya sukar (pembukaan musim di QatarGP) untuk mendapat rentak dari peralihan jentera Moto2 ke Moto3. Diaju mengenai cabaran yang beliau hadapi, KIP berkata jentera Moto2 kurang kelajuan di selekoh (corner speed) berbanding dengan jentera Moto3. Khairul Idham Pawi yang pernah mengharumkan nama Malaysia pada tahun 2016 dengan memenangi perlumbaan di Argentina dan Jerman berharap beliau mampu beraksi dengan lebih baik musim ini berbanding tahun 2016.

Mengenai perancangan musim 2021, buat masa ini masih tiada lagi perbincangan antara Khairul Idham Pawi dan pasukan Petronas SRT, namun mengakui matlamat beliau buat masa ini adalah untuk fokus dalam mengumpul mata dan memberi 100% dalam perlumbaan.

Antara soalan lain yang disentuh adalah kemungkinan untuk Valentino Rossi bersama dengan pasukan Petronas Yamaha SRT dalam kategori MotoGP musim hadapan. Sekiranya berita tersebut benar, Khairul Idham Pawi berharap dapat mempelajari sesuatu dari juara dunia 9 kali tersebut, dan turut mengakui ada memasang impian untuk berlatih di Akademi VR46.

Disoal mengenai SOP yang ditetapkan dalam memastikan perlumbaan dijalankan, wakil pasukan Petronas SRT berkata buat masa ini setiap pasukan baru menerima versi pertama garis panduan dari pihak DORNA dalam membendung penularan COVID-19 di litar. Antara SOP yang wajib dipatuhi adalah semua pelumba dan ahli pasukan tidak dibenarkan untuk keluar selain dari hotel dan litar, penggunaan topeng muka, penjarakan sosial, mengurangkan komunikasi dengan pasukan lain, dan banyak lagi. Namun begitu, semua pasukan akan menerima garis panduan yang muktamad sebelum perlumbaan dimulakan, dan ini juga termasuk apa yang perlu dilakukan oleh pasukan sekiranya pelumba dikenal pasti positif dengan COVID-19.

Khairul Idham Pawi akan terbang ke Sepanyol 3 Julai nanti sebagai persedian untuk perlumbaan di Jerez yang akan berlangsung pada 19 Julai 2020.