Moto2: “Masa ideal saya adalah 1: 41.6 saat” – Hafizh Syahrin

Hari kedua ujian pra-musim sudah pun selesai, setiap pelumba telah menunjukkan peningkatan demi peningkatan dari hari pertama hingga kedua. Begitu juga pelumba negara Hafizh Syahrin yang menunjukkan peningkatan. Seperti mana yang kita tahu beliau menyatakan pada hari pertama hanya menumpukan untuk simulator perlumbaan bukan untuk mengejar catatan masa terpantas pada setiap sesi. Hafizh juga memberitahu yang beliau tidak menggunakan sebarang tayar ‘soft’ pada hari pertama, tetapi perbezaan masa beliau tidaklah begitu jauh dengan pelumba hadapan.

Pada hari kedua pula menunjukkan peningkatan yang lebih baik dari Hafizh Syahrin walaupun rakan sepasukan beliau melakukan catatan masa terpantas pada sesi ke-4 dengan 1:40.958 saat tetapi dikejar oleh Marco Bezzechi pada sesi ke-5 dengan catatan masa 1:40.448 saat. Ini menunjukkan pasukan Aspar tiada masalah untuk berada di kelompok hadapan pada sesi ujian masa satu, dua, tiga dan sesi kelayakan apabila musim perlumbaan bermula nanti.

Manakala Hafizh pula yang melakukan simulator perlumbaan berjaya meningkatkan catatan masa beliau dengan lebih konsisten dan semakin pantas dari sesi ke-4 dan ke-5. Jurang beliau bersama-sama pelumba lain yang juga mencuba simulator perlumbaan tidaklah begitu jauh. Jika dilihat pada catatan masa sesi ke-5, Lorenzo Baldassari dan Augusto Fernandez dan juga Hector Garzo telah mencuba simulator perlumbaan (penggunaan tayar ‘medium’).

Hafizh Syahrin – “Selesai untuk hari kedua, saya berasa gembira kerana ada perubahan serta bertambah baik sedikit demi sedikit. Bukan mudah untuk menyesuaikan diri dari jentera sebelum ini dan beralih ke jentera lain. Hari ini kita dapat melakukan peningkatan dari segi catatan masa dengan menggunakan tayar ‘medium’. Saya telah mencuba tayar ‘soft’ tetapi laluan trafik yang terlalu ramai, masa yang ideal saya adalah 1:41.6 saat. Kita perlu lagi untuk melakukan peningkatan pada hari esok. Saya gembira dengan tetapan pada jentera ini dan saya tidak sabar ingin untuk berlumba pada musim ini, kerana apa yang kita lakukan pada ujian pra-musim ini adalah memikirkan situasi perlumbaan.”

Jadi Hafizh ada menggunakan tayar ‘soft’ tetapi disaat-saat akhir penghujung sesi, dan ramai yang ingin melihat catatan masa beliau ketika menggunakan tayar ‘soft’. Masih ada lagi satu hari sebelum mereka berangkat ke Qatar untuk ujian pra-musim terakhir dan sebelum bermulanya musim 2020.

Photo – Aspar Team