Moto2: “Keputusan Catatan Masa Hanya Akan Keluar Pada Februari 2020” – Angel Nieto

Setelah dua hari berlansung sesi ujian pra-musim tertutup di Valencia telah berakhir semalam. Beberapa pasukan Moto3 dan Moto2 terlibat sama untuk ujian tersebut. Ujian tertutup ini adalah untuk sesi pengenalan di antara pelumba, krew dan juga jentera mereka. Bukan semua pasukan turut serta dalam sesi ini hanya beberapa pasukan yang kebanyakan dari pasukan Sepanyol sendiri.

Augusto Fernandez meneruskan evolusinya bersama casis Kalex dari pasukan Estrella Galicia Marc VDS bersama-sama rakan pasukan baru beliau Sam Lowes. Manakala Marcos Ramírez dan Joe Roberts pula bersama pasukan Amerika Racing, Nicolo Bulega dan Edgar Pons yang telah membentuk pertama kali mempunyai pasangan di bawah pasukan Gresini. Marco Bezzechi yang beralih dari Tech berkerjasama dengan Luna Marini di bawah pasukan Sky Kalex, Jorge Martín dan Tetsuta Nagashima bersama Red Bull Ajo. Pasukan ONEXOX TKKR SAG kekal iaitu Remy Gardner bersama pelumba Malaysia Kasma Daniel ‘Rookie’ yang hanya sempat menguji jentera beliau sehari sahaja sebelum berangkat pulang ke Malaysia untuk perlumbaan terakhir ARRC di Thailand.

Dalam kategori Moto3, Raul Fernandez dan Kaito Toba dalam pasukan Red Bull KTM Ajo, dan pelumba dari Czech, Filip Salac dengan rakan sepasukan beliau Tony Arbolino. Di samping itu, Sergio Garcia dan Ryusei Yamanaka turut serta untuk pasukan Estrella Galicia 0.0.

Sesi ujian tertutup mempunyai catatan masa tetapi tiada paparan untuk pihak-pihak luar, ini kerana mereka hanya menggunakan dua hari ini untuk penetapan pada casis jentera dan pelumba. Mereka lebih memberi fokus pada bahagian-bahagian kestabilan jentera tersebut. Seperti pasukan Angel Nieto menyatakan dalam laman twitter mereka, keputusan catatan masa hanya akan diambil pada bulan Februari nanti, tetapi kedua-dua pelumba memberikan hasil yang baik dan memberansangkan.

Hafizh Syahrin – “Saya telah tamatkan sesi ujian Moto2 ini dengan perasaan yang lega dan gembira. Sepanjang satu hari setengah ini telah memberikan hasil yang positif. Pada hari pertama keadaan agak baik dan pada hari kedua saya lebih menumpukan pada gaya tunggangan saya dan cuba membuat penambaikan sedikit demi sedikit. Saya sudah mula rasa serasi dengan jentera saya dan gembira kerana tidak jauh dengan pelumba terpantas selama dua hari. Bulan Februari nanti saya, krew dan jentera baru akan bekerja habis-habisan.”

Sepanjang dua hari tersebut Hafizh telah membuat 120 pusingan penuh manakala 148 pusingan penuh oleh rakan sepasukan beliau Aron Canet sebagai pelumba baharu ‘Rookie’. Jadi berakhir sudah Grand Prix 2019 dan akan bersambung pada tahun hadapan di bulan Februari. Diharap peminat-peminat lebih sabar menanti kerana haruslah memberi mereka peluang untuk sesi ujian pra-musim yang seterusnya.