Moto2: Hafizh Lebih Menumpukan Persediaan Perlumbaan

Pada 19hb sehingga 21hb Februari merupakan sesi ujian pra-musim bagi kategori Moto2 dan Moto3 secara rasmi. Setiap pasukan telah membuat persiapan bersama-sama pelumba mereka. Begitu juga pelumba Malaysia yang menjadi sebutan peminat-peminat sukan permotoran tempatan. Hafizh Syahrin yang bersama pasukan Angel Nieto (Aspar) kembali beraksi di Moto2, kali ini beliau menggunakan berlainan casis (Speed Up) daripada 3 tahun sebelum ini. Beliau berpasukan bersama Aron Canet yang merupakan naib juara Moto3 Grand Prix 2019.

Selama tiga hari ujian pra-musim ini berlansung dan mempunyai tiga sesi dalam satu hari bagi setiap kategori. Pada sesi pertama Hafizh berada di posisi ke-23 dengan catatan masa 1:43.466 saat iaitu 1.8 saat di belakang pendahulu, manakala Aron Canet berada di posisi ke-7.

Pada sesi kedua pula catatan masa masing-masing mula berubah dengan lebih pantas daripada sesi pertama, ini kerana keadaan suhu litar yang membuatkan tayar lebih mencengkam. Hafizh Syahrin berjaya membuat 1:42.459 saat, satu saat lebih pantas dari sesi pertama untuk berada di posisi ke-21 ketika itu. Aron Canet yang berada di posisi ke-8 pula telah membuat 1:41.840 saat.

Sesi terakhir pada hari pertama Hafizh membuat catatan masa 1:42.658 saat, hanya 0.2 saat perlahan dari sesi kedua. Manakala Aron Canet yang berada di posisi ke-3 pada sesi ketiga dengan catatan masa 1:41.439 saat. Berikut adalah ulasan Hafizh sepanjang sesi yang berlansung pada hari pertama ujian pra-musim di Jerez.

Hafizh Syahrin – “Selepas ujian pada dua minggu lalu saya boleh katakan saya sudah dapat menjinakkan ‘Speed Up’ dan dapat memberikan peningkatan yang banyak. Kami masih jauh dari pelumba hadapan dari segi catatan masa dan kita mempunyai peluang untuk penambahbaikan, saya gembira buat masa ini. Saya tidak menggunakan tayar ‘Soft’ kerana ia bukanlah tayar yang akan digunakan ketika perlumbaan nanti. Saya hanya memberi tumpuan untuk menyiapkan diri pada musim ini. Saya akan cuba memperbaiki serta menyesuaikan lagi dan akan cuba mengurangkan catatan masa. Kita lihat apa yang kita mampu buat selepas ini.”

Jadi Hafizh lebih memberi tumpuan pada “race pace” berbanding pelumba lain yang cuba membuat masa terpantas. Mungkin juga Aron Canet diarah untuk menguji jentera menggunakan tayar ‘soft’ manakala Hafizh memberi data pada situasi perlumbaan (race simulator). Masih ada dua hari untuk mereka mencuba dan mengumpul data sebanyak yang boleh sebelum berangkat ke ujian pra-musim kedua di Qatar.

Photo – Team Aspar