Maverick Vinales menafikan khabar angin bakal ke Aprilia musim hadapan

Gambar: Monster Energy Yamaha MotoGP

Semalam keluar desas-desus bahawa Maverick Vinales bakal meninggalkan Yamaha hujung musim ini – menamatkan kontrak setahun lebih awal bersama Yamaha, dan akan ke pasukan Aprilia.

Walaupun sejak kebelakangan ini Maverick Vinales secara terbuka memberi komen terhadap Yamaha, terutama selepas menamatkan perlumbaan di tangga terakhir pada perlumbaan di Sachsenring Ahad lepas, dalam sesi temu bual, pelumba Sepanyol itu berkata, respon pihak Yamaha terhadap masalah yang beliau hadapi musim ini seakan tidak dihormati.

Dalam sesi temubual, Maverick Vinales menafikan kepada DAZN tentang berita beliau akan ke Aprilia musim hadapan, namun tidak menjawab sama ada beliau akan kekal sebagai pelumba Yamaha pada 2022 atau pun tidak. Turut mengakui beliau ada memikirkan untuk meninggalkan Yamaha sejak awal musim lagi.

Ketika disoal berkenaan dengan berita ke Aprilia, kata Maverick,

“Tidak, tidak benar”

“Sudah tentu itu adalah kemungkinan (untuk meninggalkan Yamaha), saya memikirkan perkara tersebut sejak awal musim, kerana saya tidak dapat menunjukkan potensi saya sepenuhnya. Tetapi saya tidak dapat memberitahu lebih banyak lagi”

Maverick Vinales turut menambah beliau mempunyai hubungan yang baik bersama Yamaha Jepun.

Maverick Vinales berjaya mendapat posisi pole ketika sesi kelayakan pada hari Sabtu, dan gagal mendapat permulaan yang bagus ketika perlumbaan. Namun Maverick berjaya bersaing dan menamatkan perlumbaan di tangga kedua. Rakan sepasukan Maverick Vinales, Fabio Quartararo menamatkan perlumbaan di tangga pertama, dan jurang masa antara kedua-dua pelumba adalah 2.757s.

Perlumbaan seterusnya adalah di Austria pada 8 Ogos 2021.