Kontrak satu tahun Valentino Rossi bersama PYSRT, dan bagaimana segalanya berlaku

Gambar: MotoGP

Berita tentang juara dunia 9-kali, Valentino Rossi ke pasukan Petronas Yamaha SRT bukanlah sesuatu yang asing lagi. Walaupun berita mengenai pemindahan sudahpun dikhabarkan sejak beberapa bulan yang lalu, teka-teki ini akhirnya terjawab apabila pengumuman rasmi sudahpun dilakukan semalam di Litar Barcelona-Catalunya.

“Saya sangat gembira, dan berbangga dengan keputusan ini, kerana saya masih ingin terus berlumba. Musim ini agak pelik, jadi pelan saya adalah untuk melihat sama ada saya masih kompetetif di awal musim (musim 2020), dan saya banyak berunding bersama Lin, Yamaha dan pasukan Petronas”

Gambar: Petronas Yamaha SRT

“Saya tidak rasa banyak akan berubah, hanya warna di jentera saya kerana Petronas sudahpun berada di tahap yang baik dan sangat profesional, dengan keputusan (perlumbaan) yang baik.”

Valentino Rossi turut berkongsi rundingan beliau bersama Lin Jarvis. Beliau berkata sebelum krisis COVID-19, Lin Jarvis ada menelefon beliau untuk berjumpa, dan beliau mengetahui berita yang bakal disampaikan adalah berita yang tidak baik. Hal ini kerana, Maverick Vinales menunjukkan prestasi yang sangat baik, juga Fabio Quartararo berjaya mendapatkan keputusan perlumbaan yang bagus. Valentino Rossi berkata, beliau sudahpun menduga situasi tersebut sejak pusingan di Thailand musim lepas. Turut menambah, Lin Jarvis sudahpun sedia maklum (oleh Valentino Rossi) untuk ‘memecat’ beliau sekiranya tiada tempat untuk Valentino dalam pasukan tersebut.

“Maverick sangat kuat tahun lepas dan Fabio berjaya mendapat keputusan yang baik. Jadi agak sukar untum menyimpan tempat saya pada tahun 2021. Saya selalu berkata kepada Lin bahawa beliau boleh ‘memecat’ saya, jadi saya rasa itu normal”

“Saya beritahu Lin, sekiranya saya teruskan berlumba, dia perlu memberi saya jentera ketiga Yamaha M1 (factory) kerana saya ingin teruskan apa yang saya buat sekarang. Dan Lin bersetuju”

Menurut Lin Jarvis, kontrak di tanda tangani kedua belah pihak 17 minit sebelum pengumuman dibuat.

“Sangat gembira semuanya selesai. Segala proses mengambil masa lebih kurang enam bulan. Saya merasa sedikit kelakar kerana kontrak tidaklah tebal, kerana ianya hanya sambungan dari apa yang kami ada sekarang, tetapi untuk sampai ke tahap ini, mengambil masa enam bulan”

“Situasi sedikit kompleks, kerana kami adalah dari syarikat Jepun, tetapi berunding kontrak bersama pasukan Malaysia, bersama pelumba (dan kru) Itali. Juga, orang putih untuk cuba menjayakan rundingan tersebut”

“Tiada kesukaran sepanjang rundingan berjalan, cuba sedikit kompleks kerana beliau (Valentino Rossi) bukanlah pelumba yang biasa. Pelumba biasa selalunya bila rundingan kontrak dijalankan, proses tersebut sangat cepat. Tetapi apabila pelumba itu adalah seseorang seperti Valentino Rossi, anda perlu lebih terperinci dengan sokongan teknikal, kru pasukan, dengan imej yang betul, dari segala aspek”

“Dan perkara sebegini yang mengambil masa. Apa-apa pun saya gembira kerana segalanya (kontrak) sudah selesai.”

Turut menambah, Valentino Rossi masih pelumba yang menggunakan kontrak pelumba ‘factory’ Yamaha, cuma untuk pasukan satelit, iaitu Petronas Yamaha Sepang Racing. Dalam erti kata lain, jentera yang akan digunakan oleh Valentino Rossi musim hadapan, sama seperti Maverick Vinales, juga Fabio Quartararo.

Menjawab kepada kontrak 1-tahun Valentino Rossi, Lin Jarvis berkata, kontrak bersama Yamaha selaku pengeluar jentera adalah untuk setiap 5 tahun, dan kontrak akan tamat pada tahun 2021. Walaupun penyambungan kontrak dengan Yamaha akan tetap diteruskan, namun segala kontrak (dokumen sahih) masih belum termetrai, jadi perlu menunggu sehingga kontrak dengan pegeluar jentera disambungkan untuk tahun 2022 sehingga tahun 2026 (juga kontrak buat pasukan satelit).

Turut menambah, Valentino Rossi juga ingin melihat samaada beliau masih kompetetif, setelah melakukan beberapa pusingan perlumbaan musim hadapan, dan menilai sendiri prestasi beliau. Lin Jarvis berkata, kontrak turut menjelaskan bahawa rundingan penyambungan kontrak bersama Valentino Rossi juga akan dibincangkan pada pertengahan musim hadapan.