Johann Zarco Patah Tulang Skafoid Dari Kemalangan Ahad Lalu

Gambar: MotoGP

Ahad lepas kita digerunkan dengan kemalangan antara Johann Zarco dan Franco Morbidelli yang amat mengerikan. Walaupun tiada pelumba yang mengalami kecederaan yang teruk, Johann Zarco mendedahkan beliau mempunyai kepatahan tulang skafoid di pergelangan tangan kanannya, dan terpaksa melakukan pembedahan untuk merawat kepatahan itu pada hari Rabu ini.

 “Ini adalah prosedur yang biasa, dengan meletakkan skru untuk menyatukan semula tulang yang patah,” jelas Zarco.

“Saya akan kembali ke Austria pada hari Khamis pagi dan mendapatkan pemeriksaan perubatan untuk melihat sama ada saya dapat atau tidak berlumba pada hujung minggu ini di Litar Red Bull. “

Selain itu, pelumba dari pasukan Avintia itu turut mengulas mengenai kemalangan ahad lalu yang menyebabkan bendera merah dikibarkan dan perlumbaan diberhentikan seketika.

“Saya agak meluat dengan bagaimana perkara ini boleh berubah. Akhirnya, saya yang cedera dan dituduh. “

“Saya sudah menjelaskan bahagian saya pada malam minggu dengan Franco Morbidelli dan Valentino Rossi, mereka kemudian mengakui bahawa saya tidak gila. Saya brek dan berada di laluan saya ketika Franco terlanggar tayar belakang saya. Tapi akhirnya, sayalah yang cedera dan yang dituduh. Carmelo Ezpeleta memaklumkan kepada saya bahawa penting untuk saya menperjelaskan dari bahagian saya, dan saya akan lakukan seperti yang saya lakukan selepas perlumbaan dengan Franco dan Valentino. “

Johann Zarco berharap beliau dapat berlumba pada hari Ahad ini di litar yang sama, tetapi sekiranya beliau didapati tidak cerdas, Johann Zarco berkata beliau tidak akan mengambil risiko untuk berlumba dan hanya akan kembali beraksi pada awal September di perlumbaan pusingan Misano dan Barcelona. Johann Zarco turut berharap bahawa apa yang berlaku pada hari ahad lepas tidak akan menjejaskan peluang beliau untuk ditawarkan kontrak bersama pasukan Ducati, menggantikan tempat Andrea Dovizioso pada musim hadapan.