Jalur gemilang dikibarkan di Qatar, Danial Syahmi dan Hakim Danish berjaya meraih podium!

Jalur gemilang dikibarkan di Qatar apabila dua pelumba negara, Danial Syahmi dan Hakim Danish berjaya meraih podium di pusingan kedua Kejuaraan Asia Talent Cup di Litar Antarabangsa Losail. Memberi saingan sengit dalam perlumbaan, Danial Syahmi dan Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 dan ke-3.

Danial Syahmi suatu ketika dahulu pernah mengalami detik getir yang hampir menamatkan karier beliau sebagai pelumba. Terlibat dengan kemalangan pada tahun 2018 di Litar Antarabangsa Sepang, Danial Syahmi hancur kira-kira 10 sentimeter tulang betisnya dan terpaksa direhatkan selama dua tahun sebelum kembali bersaing dalam Kejuaraan Asia Talent Cup.

Saingan sengit antara Furusato dan Danial

Pelumba yang berasal dari Nibong Tebal itu berjaya membuktikan beliau kembali bangkit dengan meraih dua podium di perlumbaan 1 dan 2 dalam pusingan dua Kejuaraan Asia Talent Cup di Qatar. Dalam kedua-dua perlumbaan, Danial Syahmi memberi saingan yang sengit bersama pelumba Jepun, Taiyo Furusato. Dalam perlumbaan 1, Danial Syahmi menamatkan perlumbaan di posisi ke-2 dengan hanya 0.115s di belakang Furusato. Perlumbaan kedua pula sekali lagi menampilkan saingan sengit antara Danial dan Furusato. Berjaya merapati Furusato sehingga pusingan akhir, Danial berjaya memintas Furusato, namun Furusato merampas kembali posisi di selekoh 15. Danial Syahmi menamatkan perlumbaan dengan hanya 0.073s di belakang Furusato.

Hakim Danish menamatkan perlumbaan di P3

Hakim Danish antara lapan pelumba yang bersaing rapat untuk merebut posisi ke-3. Menamatkan perlumbaan di posisi ke-7 di perlumbaan 1, Hakim Danish memberi saingan sengit dengan kelompok pelumba dalam perlumbaan 2. Hakim Danish akhirnya mendahului saingan untuk posisi ke-3, dan berjaya mengekalkan kedudukan biarpun terdapat kemalangan di pusingan akhir antara Rei Wakamatsu dan Fadillah Aditama. Hakim Danish menamatkan pelumbaan di posisi ke-3, sekali gus bersama dengan Danial Syahmi di podium.

Pelumba negara, Sharul Ezwan menamatkan perlumbaan di posisi ke-11 di perlumbaan 2.

Pusingan seterusnya akan berlangsung di Litar Twin Ring Motegi, Jepun pada 1 hingga 3 Oktober 2021.