Hafizh Syahrin – “Saya harapkan yang terbaik untuk perlumbaan akan datang”

Gambar: RW Racing GP

Pelumba negara, Hafizh Syahrin menamatkan perlumbaan di tangga ke-17 dalam perlumbaan Grand Prix Jerman semalam. Gagal untuk meraih mata, Hafizh Syahrin akui kecewa. Kata Hafizh,

“Perlumbaan kali ini (GP Jerman), saya sangat kecewa”

“Kerana saya tidak menggunakan potensi yang saya ada dengan jentera saya seperti di Mugello”

“Kerana perlumbaan kali ini, trek yang sangat pendek, jadi banyak ‘lean angle’, sangat banyak limitasi dengan jentera saya”

Hafizh Syahrin turut menambah bahawa beliau sudah pun mendapat ‘rear shock’ baru sejak dari sesi ujian di Barcelona lagi, dan penambahbaikan tersebut menunjukkan kesan positif di Mugello.

“Saya dapat ‘rear shock’ baru dari ujian Barcelona lagi, tetapi di Mugello sangat bagus, sangat positif kerana trek yang besar, tidak banyak lean angle”

“Barcelona dan sini (Sachsenring) lebih kurang sama, cuma litar ini lebih pendek”

“Banyak lean angle, dan saya tidak mendapat sokongan yang bagus dari tayar belakang”

“Senang untuk hilang cengkaman, dan terlalu banyak berpusing, sebab itu saya kalah apabila keluar selekoh”

Tambah Hafizh Syahrin,

“Perlumbaan akan datang adalah perlumbaan ‘Home Race’ buat pasukan saya, saya akan buat yang terbaik”

“Minta maaf tidak dapat raih mata untuk perlumbaan kali ini, saya harap untuk raih mata, tetapi mungkin bukan rezeki saya”

“Saya harapkan yang terbaik untuk perlumbaan akan datang”

Hafizh Syahrin memulakan perlumbaan di tangga yang ke-26, dan menamatkan perlumbaan di tangga ke-17. Rakan sepasukan Hafizh Syahrin, Barry Baltus menamatkan perlumbaan di tangga ke-14, sekali gus raih 2 mata di GP Jerman.