Hafizh Syahrin – “Saya akan cuba berikan yang terbaik, dan akan cuba faham jentera saya secepat yang mungkin”

Minggu lepas merupakan perlumbaan yang sukar buat Hafizh Syahrin. Bermula dari posisi ke-28, Hafizh Syahrin gagal untuk bersaing dengan kelompok di hadapan. Lebih tidak bernasib baik, Hafizh Syahrin tidak berjaya menamatkan perlumbaan di pertengahan perlumbaan, atas masalah teknikal, dan terpaksa kembali ke pit.

Sejurus selepas perlumbaan, Jarno Janssen, selaku pengurus pasukan NTS RW Racing GP berkata,

“Minggu pertama perlumbaan musim 2021 berakhir untuk kami. Bagi kami, perlumbaan tersebut bukan seperti apa yang kami harapkan. Dari awal perlumbaan, kami hilang dari kelompok pelumba di hadapan kami. Jelas, perlumbaan tersebut akan amat sukar. Akhirnya, kami terpaksa menamatkan perlumbaan dengan lebih awal di atas masalah teknikal. Sesuatu yang sudah pasti tidak patut berlaku, tapi malangnya berlaku dalam sukan seperti ini. Kami sekarang perlu mengenal pasti masalah yang dihadapi, supaya kami dapat kembali minggu hadapan (GP Doha) dengan lebih bersedia dan untuk bersaing dalam perlumbaan. Saya ingin berterima kasih kepada pasukan di atas kerja keras mereka sepanjang minggu, juga saya ingin memohon maaf kepada Hafizh. Minggu depan (GP Doha), kami akan kembali dengan lebih baik”

Bagi pelumba negara, Hafizh Syahrin, ternyata perlumbaan tersebut bukan seperti yang beliau harapkan. Optimis untuk cuba yang terbaik dalam perlumbaan akan datang, kata Hafizh,

“Bagi saya, perlumbaan minggu lepas agak kurang baik. Kerana permulaan perlumbaan saya sukar untuk mengawal jentera saya ketika di selekoh, terutama pada bahagian belah kiri”

“Dalam pertengahan perlumbaan saya cuba sesuaikan diri dengan jentera, dan faham walaupun saya berada di belakang, tetapi nasib tidak menyebelahi, jentera saya mati sendiri. Apa yang saya dapati, penerus (rectifier) motor mempunyai masalah, dan tidak cas ke bateri motor, menyebabkan tidak ada kuasa, dan enji terus mati”

“Saya berharap di minggu yang akan datang, saya akan cuba buat yang terbaik, cuba faham jentera saya dengan secepat yang mungkin. Walaupun tidak banyak maklumat yang saya dapat, tetapi saya akan cuba beri yang terbaik. Walaupun agak sukar untuk saya, tetapi saya tetap semangat untuk terus dapat perasaan dengan jentera dengan lebih bagus”

Rakan sepasukan Hafizh Syahrin, Barry Baltus, retak pergelangan tangan kiri dan tidak dapat berlumba ekoran dari kemalangan di sesi latihan FP3 GP Qatar.