Empat Tahun Laluan Yang Sukar Buat Hafizh Syahrin

Siapa tidak kenal pelumba negara yang satu-satunya kini masih beraksi dalam kejohanan Grand Prix Dunia dalam kategori Moto2. Musim 2021 ini beliau bersama pasukan RW NTS Racing, ianya agak sukar untuk beliau menyesuaikan diri beliau bersama casis NTS buat masa ini. Bersama-sama pasukan mereka cuba untuk memberikan hasil yang terbaik pada setiap sesi dalam Moto2 baru-baru ini. Musim 2021 juga adalah tahun ke-empat Hafizh Syahrin beraksi berlainan casis jentera, berlainan pasukan serta berlainan krew dan pengurusan.

2018

Pada tahum 2017 daripada Moto2 menggunakan casis Kalex, Hafizh Syahrin telah diberi peluang untuk berlumba di kejohanan grand prix MotoGP bersama pasukan Tech3 dengan menggunakan jentera Yamaha M1 2016 spesifikasi C, Iya bukan A bukan B tetapi C. Manakala rakan sepasukan beliau Johan Zarco telah dibekalkan jentera 2017 spesifikasi A. Ketika di Sepang jentera beliau telah dipasang winglet untuk bersaing selaku tuan rumah ketika itu, tetapi untuk cuba menyesuaikan diri dengan 4 kali sesi latihan (30 minit untuk satu sesi) tidak memadai untuk beliau bersaing dengan pelumba lain dari segi catatan masa.

Gambar – Official Hafizh Syahrin

Ketika hari perlumbaan walaupun Hafizh Syahrin bermula di barisan belakang, tetapi beliau berjaya menamatkan perlumbaan di posisi ke-10 ketika itu satu persatu pelumba bertaraf dunia dipintas beliau. Harus diingatkan sekali lagi Hafizh Syahrin hanya menggunakan jentera M1 2016 kelas spesifikasi C pada tahun 2018. Franco morbidelli yang merupakan ‘Rookie of the year’ pada tahun itu dengan perbezaan 4 mata dengan Hafizh Syahrin. Beliau berlumba bersama pasukan Marc VDS, beliau telah diberikan jentera Honda RC213V 2017 spesifikasi A. Terdapat banyak jurang dari segi jentera untuk Hafizh Syahrin beraksi ketika itu.

“Jika saya diberi peluang menggunakan jentera M1 2017 ketika itu, saya boleh top 5”

Kalau diberi M1 2018 boleh jadi double Podium Zarco dan Hafizh.

Gambar – Official Hafizh Syahrin

2019

Berlaku perubahan besar-besaran oleh pasukan Tech 3 yang akan beralih ke KTM, in kerana sokongan yang lebih besar dijanjikan kepada Tech 3 oleh KTM Racing berbanding Yamaha. Herve Poncharal sekali lagi menjadi hero buat peminat di Malaysia dengan membawa Hafizh Syahrin untuk menunggang jentera KTM. Walaupun kita tahu KTM lebih menginginkan pelumba pelapis mereka sendiri beraksi ataupun bersama-sama membangunkan projek jentera RC16 untuk bersaing rapat dengan pengeluar lain.

Gambar – Official Hafizh Syahrin

Seperti mana yang kita tahu, bekas rakan sepasukan Hafizh iaitu Johann Zarco juga menyertai pasukan KTM pengeluar tetapi mengambil keputusan untuk berhenti separuh jalan kerana tidak mahu berlumba menggunakan jentera KTM, akan tetapi Hafizh tetap meneruskan sehingga ke penghujung musim untuk kekal bersama KTM. Pada ketika ini KTM menggunakan khidmat Tech 3 untuk memberikan peningkatan dan pembaikan pada jentera mereka, dari sudut enjin, casis, suspension, fork dan sebagainya. Pada ketika itu juga KTM telah mendapatkan khidmat Dani Pedrosa yang sedikit sebanyak membantu dalam proses membangunkan KTM ini. Tetapi perubahan besar dapat dilihat pada jentera RC16 pada tahun 2020, dan pada tahun itu Hafizh sudah beralih ke Moto2.

Gambar – MMM

2020

Seperti mana KTM lebih mahukan khidmat pelumba pelapis mereka, maka Tech 3 tidak menyambung kontrak Hafizh Syahrin. Pengalaman berharga buat beliau sepanjang 2 tahun bersama-sama pasukan Tech3, di kejohanan utama MotoGP. Pada musim 2020, Hafizh Syahrin kembali beraksi Moto2 menggantikan tempat Jake Dixon (swap bersama pasukan Petronas Sprinta Racing) didalam pasukan Aspar menggunakan casis Speed Up.

Gambar – Official Hafizh Syahrin

Casis ini merupakan casis kedua terbaik dalam Moto2 jika dibandingkan dengan casis Kalex yang lebih banyak digunakan oleh pasukan lain. Pada pusingan kedua musim 2020 perlumbaan di Jerez, Hafizh berjaya menduduki tempat ke-6 yang merupakan permulaan terbaik beliau. Malang buat beliau yang mengalami kemalangan teruk pada pusingan ke-5 walaupun diberitahu tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi sedikit sebanyak memberi impak dari segi psikologi. Hafizh Syahrin hanya berjaya mengumpul 21 mata untuk berada dikedudukan ke-21 keseluruhan.

2021

Pada tahun ini pasukan RW NTS Racing GP yang berasal dari Belanda telah mengambil Hafizh Syahrin untuk mewakili pasukan mereka. Pasukan ini juga mempunyai casis mereka sendiri yang dipanggil casis NTS, jika mengikut carta casis terbaik,

  • Kalex
  • Speed Up (Boscoscuro)
  • KTM (Pada 2020, sudah tidak menggunakan casis sendiri sebaliknya menggunakan Kalex)
  • MV Agusta
  • NTS

Sebelum ini pasukan tersebut telah menggunakan khidmat pelumba negara mereka iaitu Bo Bendsneyder selama dua musim. Mengikut rekod beliau yang telah berlumba sebanyak 34 pusingan, hanya 8 kali sahaja Bo berjaya berada dikedudukan 15 terbaik ketika perlumbaan. Kini sudah berlansung dua perlumbaan buat Hafizh dan pasukan. Mereka akan cuba mencari tetapan yang sesuai untuk perlumbaan seterusnya seperti masalah kawalan, mengambil sudut selekoh yang lebih tegap.

Gambar – Official Hafizh Syahrin

Selama empat tahun empat casis dan jentera yang berlainan diantara satu sama lain cuba diadaptasi dan fahami oleh Hafizh Syahrin untuk bersaing dengan pelumba-pelumba yang sudah bertahun-tahun dalam satu pasukan, tidak mustahil bagi beliau. Tampak seperti tidak putus asa tetapi memerlukan sedikit dorongan dan sokongan sebagai tulang belakang buat Hafizh Syahrin. Demi mengharumkan nama negara, kerjaya usaha beliau harus dihargai, sokongan kita harus kukuh.

Gambar – Official Hafizh Syahrin