Danial Syahmi kembali bangkit – Raih podium di Qatar!

Pelumba negara, Danial Syahmi Sharil berjaya menamatkan perlumbaan di posisi ke-2 dalam perlumbaan pertama di Qatar, sekali gus meraih podium. Bermula dari petak ke-2, Danial memberi saingan sengit dalam perlumbaan dan kerap bertukar posisi dengan pendahulu kempen, Taiyo Furusato.

Dengan berbaki dua pusingan, Danial Syahmi berjaya mendahului perlumbaan dengan memintas Furusato di selekoh kedua, namun pelumba Jepun itu berjaya merampas kembali posisi beliau, dan memenangi perlumbaan di Qatar. Danial Syahmi menamatkan perlumbaan dengan hanya 0.115s di belakang Furusato.

Pelumba negara, Hakim Danish berada dalam 5 kelompok pelumba yang bersaing untuk posisi ke-3 sehingga ke garisan penamat, dan Hakim Danish berjaya menamatkan perlumbaan di posisi ke-7. Sharul Ezwan pula menamatkan perlumbaan di posisi ke-14.

Dengan saingan sengit yang diberikan oleh Danial, ternyata Danial kembali bangkit dari insiden yang hampir menamatkan karier beliau sebagai pelumba. Danial Syahmi terlibat dengan kemalangan yang mengerikan ketika bersaing sengit di garisan penamat pada perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) tahun 2018 di Litar Antarabangsa Sepang. Ekoran dari kemalangan tersebut, Danial mengalami kecederaan yang teruk dengan tulang betisnya hancur kira-kira 10 sentimeter dan terpaksa direhatkan selama dua tahun sebelum kembali berlumba.

Danial Syahmi kini mengumpul 39 mata dan berada di tangga ke-5 dalam carta Kejuaraan ATC, Hakim Danish berada di tangga ke-3 dengan 41 mata, dan Sharul Ezwan berada di tangga ke-8 dengan 21 mata.

Perlumbaan kedua Asia Talent Cup di Qatar akan berlangsung esok (4 April 2021) jam 6.40pm, waktu Malaysia.