CubPrix: Fazli Yakin TKKR Bangkit Di MAEPS

Ahmad Fazli Sham yakin pasukannya Onexox TKKR Racing Team akan kembali bangkit dan memberikan saingan di kelompok hadapan pada perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Litar MAEPS, Serdang, Selangor, 7 dan 8 Julai ini.

Pelumba berpengalaman berusia 36 tahun yang beralih pasukan pada musim 2018 itu sekadar menamatkan perlumbaan akhir CP150 di kedudukan ke-10 sewaktu pusingan pembukaan di Tangkak manakala rakan sepasukan Md Khairul Ikhwan Ajis di kedudukan ke-11 dan Md Hafiza Rofa gagal menamatkan perlumbaan.

Keputusan itu jelas berbeza berbanding musim 2017 dimana Fazli menamatkan musim di kedudukan keempat keseluruhan dengan pencapaian terbaik tiga kali
muncul sebagai naib juara perlumbaan.

“Kami sudah mengenalpasti beberapa kelemahan dan kesilapan perlumbaan lepas dan telah memperbaiki kelemahan tersebut. Beberapa ujian yang dijalankan
sebelum ini juga menunjukkan keputusan positif,” jelas juara kelas Expert 2007 dan 2008 itu.

Tambah Fazli, “Walaupun baru bersama pasukan TKKR, saya tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan sebaliknya berharap dapat menggunakan
pengalaman saya untuk membantu pasukan menaiki podium. Musim 2017 pasukan ini berjaya meraih satu podium di tangga ketiga, jadi kami berharap dapat
meraih keputusan lebih baik pada tahun ini bermula dengan perlumbaan di MAEPS.”