Atlit Veteran Mendapat Perhatian HUG

Pada 13 Januari 2018, Sungai Petani, Kedah. Harley Utara Group atau lebih dikenali sebagai HUG telah menjemput Motortvmy bersama-sama menyertai konvoi Amal Sinar Kasih untuk membantu atlit-atlit veteran yang pernah menaikkan nama Malaysia. Markas utama HUG yang berada di 3D Diving Centre merupakan lokasi mereka berkumpul sebelum memulakan konvoi amal tersebut. Diawal 8 pagi, mereka sudah mula berkumpul untuk bersiap sedia untuk bergerak ke lokasi pertama, sedikit taklimat mengenai peraturan-peraturan yang perlu diikuti ketika berada di atas jalanraya untuk memastikan konvoi tersebut berjalan dengan lancar.

Tepat jam 9 pagi deruman enjin 18 jentera berkuasa tinggi Harley Davidson mula memecah keheningan di kawasan yang penuh dengan bendang sawah padi, didahului dengan bacaan Doa agar perjalanan konvoi berjalan dengan lancar. Konvoi yang diterajui oleh presiden HUG, En. Ahmad Tarmizi sendiri, mula menuju ke lokasi pertama di Sg Petani. Seperti mana yang kita tahu, menunggang jentera Harley bermakna ianya adalah satu perjalanan yang santai dan menyenangkan, dengan cuaca yang sejuk tidak mengganggu HUG.

Lokasi pertama, adalah rumah seorang lagenda bola sepak negara iaitu Datuk Namat Abdullah. 72 tahun, yang kini lumpuh akibat diserang angin ahmar pada dua tahun lalu. Reaksi muka beliau yang tampak ceria kerana dikunjungi oleh bekas rakan sepasukan bersama HUG. Turut hadir Pengurus Operasi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), En. Aminuddin Mohd Nasir, bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Shukor Salleh dan lagenda sepak takraw negara, Adnan Saidin. Mungkin ramai yang tidak mengenali Datuk Namat ini, beliau merupakan pemain pertahanan negara yang pernah beraksi bersama skuad Olimpik di Munich pada tahun 1972. Sumbangan diberikan serba sedikit kepada beliau oleh presiden HUG agar dapat meringankan beban bekas lagenda bola sepak negara tersebut.

Selesai beramah mesra, Datuk Namat menceritakan pengalaman beliau ketika beraksi untuk negara. HUG mula bergerak ke lokasi kedua di Alor Setar. Pada kali ini HUG bersama-sama YAKEB memberi sumbangan kepada keluarga bekas tekong skuad takraw negara, Allahyarham Abdul Rahman Md Nor yang meninggal dunia akibat penyakit kanser. Sumbangan Khairat Kematian telah diberikan kepada isteri Allahyarham. Konvoi HUG telah selamat disempurnakan pada jam 1 tengah hari, HUG pulang ke Hotel Tabung Haji untuk bersiap sedia sebelum bermula majlis pelancaran Kelab Harley Utara.

Pada sebelah petang, HUG telah membuat satu majlis pelancaran Kelab Harley Utara yang dirasmikan oleh Tunku Laksamana Kedah, Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin. Majlis yang bermula pada jam 5 petang dimulakan dengan ketibaan penunggang-penunggang Harley Davidson dari serata negeri dan juga negara jiran, Thailand. Lebih daripada 200 jentera Harley serta jentera berkuasa tinggi hadir menjayakan majlis ini secara besar-besaran. Walaupun cuaca hujan gerimis, akan tetapi ianya tidak menghalang mereka turun walaupun dari Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan juga negeri jiran, Perak dan Pulau Pinang.

Pada majlis pelancaran tersebut, berlangsung juga penyampaian sumbangan yang ketiga kepada bekas pemain bola sepak negara, Domi Che Nan dan Rahman Tasu. Majlis pelancaran ini juga telah dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi lagenda, Jamal Abdillah bagi menghiburkan rakan-rakan Harley yang hadir dari jauh.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Harley Utara Group dan RTM kerana sudi menjemput Motortvmy merasai sendiri konvoi amal serta pelancaran kelab Harley Utara ini. Sejujurnya ini adalah satu pengalaman yang begitu berharga yang tidak akan dilupakan sama sekali oleh Motortvmy.

credit photo – KhairulZaiful, Motortvmy