ARRC: Izzat Dan Azlan Shah Podium Perlumbaan Pertama

Pelumba SuperSports 600cc negara, Azlan Shah Kamaruzaman bermula positif dalam usaha mempertahankan gelaran keseluruhan apabila berjaya menamatkan perlumbaan pertama di tempat ketiga pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing yang memulakan perlumbaan dari petak keempat itu menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 30’03.889s yang menyaksikan pelumba wildcard tempatan, Thitipong Warokorn (Core Kawasaki Thailand Racing Team) muncul juara dengan masa keseluruhan 29’59.35s.

Pelumba Australia, Anthony West (Webike IKAZUCHI Racing) muncul naib juara dengan masa keseluruhan 30’03.509s manakala seorang lagi pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing) yang bermula dari petak pertama di kedudukan keempat dengan masa 30’04.779s.

Meskipun gagal menepati sasaran untuk memenangi perlumbaan, Azlan bagaimanapun tetap berpuas hati dengan 16 mata yang dipungut hasil kemenangan di tempat ketiga pada hari ini. “Saya tetap gembira kerana dapat menamatkan perlumbaan di podium.

“Mata yang dipungut pada hari ini sangat penting dalam usaha saya dan pasukan untuk mengekalkan gelaran musim lepas. Kami akan mengkaji dan melihat dimana kelemahan pada Perlumbaan 1 supaya dapat mempamer aksi lebih baik dalam Perlumbaan 2 esok,”
jelas Azlan.

Sementara itu, Mohd Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha Y Y Pang Racing) muncul juara kategori Underbone 150cc dengan masa keseluruhan 16’40.311s mengatasi rakan senegara, Md Affendi Rosli (Team One For All) di kedudukan kedua dengan masa 16’41.100s.

Pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana (YAMAHA Racing Indonesia) di kedudukan ketiga dengan masa 16:47.597s. Perlumbaan 2 ARRC akan bersambung pada hari esok (4 Februari 2018).

KEPUTUSAN

SUPERSPORTS 600CC

1 Thitipong Warokorn (THA) Core Kawasaki Thailand Racing Team 29:59.235s

2 Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing 30:03.509s

3 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30:03.889s

4 Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Musashi Boon Siew Honda 30:04.706s

5 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30:04.779s

ASIA PRODUCTION 250CC

1 Anupab Sarmoon (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 19:14.601s

2 Mario Suryo Aji (INA) Astra Honda Racing Team 19:14.963s

3 Rheza Danica Ahrens (INA) Astra Honda Racing Team 19:15.161s

4 Peerapong Boonlert (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 19:15.257s

5 Rafid Topan Sucipto (INA) Yamaha Yamalube KYT TJM WR Super Battery 19:15.375s

UNDERBONE 150CC

1 Md Izzat Zaidi (MAS) RCB Yamaha Y Y Pang Racing 16:40.311s

2 Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All 16:41.100s

3 Wahyu Aji Trilaksana (INA) YAMAHA Racing Indonesia 16:47.597s

4 Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 16:49.512s

5 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 16:50.285s

sumber – ARRC