ARRC: Azlan Shah Jaguh ASB1000cc Di Asia

BURIRAM, 1 Dis – “Kemenangan ini sungguh menakjubkan. Kami bukan pasukan ‘factory’ berbanding pasukan lain tetapi kami mampu membuktikannya.”

Demikian jelas pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Azlan Shah Kamaruzaman selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas ASB1000cc pada aksi penutup tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC 2019 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram hari ini.

Azlan merupakan juara pertama kelas perdana itu yang mula diperkenalkan tahun ini dan ia merupakan gelaran ketiganya di pentas ARRC selepas bergelar juara keseluruhan kelas SS600cc pada musim 2013 dan 2017.

Menurut Azlan, dia berasa sangat terharu kerana kerja keras mereka selama ini telah berakhir dengan kejayaan yang sangat bermakna.

“Kami serba kekurangan dan saya boleh katakan bahawa kami adalah pasukan satelit pada kejuaraan ini, tetapi kami tetap mampu memberi tentangan.

“Ini adalah hasil kerja keras semua anggota pasukan yang tidak pernah
mengenal erti penat lelah menyediakan jentera terbaik untuk saya bagi
mengharungi perlumbaan sepanjang musim ini.

“Ia sungguh menakjubkan,”jelas Azlan yang memenangi Perlumbaan 2 kelas ASB1000cc hari ini dengan catatan masa 20:57.034 saat (s).

Sepanjang perlumbaan tersebut, Azlan tidak memikirkan tentang perebutan mahkota kejuaraan kerana pencabarnya Broc Parkes berada di kedudukan selesa dalam carta keseluruhan.

Menurutnya, dia hanya fokus terhada diri sendiri dan mahu mengharungi
perlumbaan tersebut dengan prestasi terbaik.

“Saya telah mengerah seluruh tenaga sebaik perlumbaan bermula dan ia telah berakhir dengan sempurna. Terima kasih kepada semua pihak terutamanya pengurusan pasukan serta para penyokong yang telah memberi semangat kepada kami sepanjang musim ini,” ujar Azlan.

Azlan sememangnya layak dinobatkan sebagai juara keseluruhan berdasarkan prestasi cemerlangnya sepanjang musim ini.

Dia telah memulakan saingan dengan bergaya apabila menjuarai aksi Pusingan 1 di Sepang. Dia turut muncul juara berganda pada Pusingan 3 di Buriram pada Julai lalu.

Sesungguhnya dia wajar diangkat sebagai wira kerana dalam setiap
penampilannya, dia tidak pernah menghampakan.

Selepas berakhirnya saingan musim ini, Azlan telah meriah 238 mata
keseluruhan, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai yang terbaik di Asia.

Rakan senegaranya, Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia Dream Racing with Showa) menduduki tempat kedua Perlumbaan 2 hari ini dengan catatan masa 21:02.209s manakala Thitipong Warokorn (Kawasaki Thailand Racing Team) di tempat ketiga dengan merekodkan masa 21:03.143s.

*INFO*

*Keputusan Perlumbaan 2 (Lima terbaik)*

*ASB1000cc*

Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) ONEXOX TKKR SAG Team – 20:57.034s

Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with Showa – 21:02.209s

Thitipong Warokorn (THA) Kawasaki Thailand Racing Team – 21:03.143s

Apiwath Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 21:04.813s

Federico Sandi (ITA) Access Plus Racing Ducati Philippines Essenza Team –
21:09.470s

*Kedudukan keseluruhan (Pelumba)*

Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) ONEXOX TKKR SAG Team – 238 mata

Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 225

Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with Showa – 211

Apiwath Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 161

Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN – 160

*Pasukan*

Yamaha Racing Team ASEAN – 244 mata

ONEXOX TKKR SAG Team – 241

Kawasaki Thailand Racing Team – 219

Honda Asia Dream Racing with Showa – 211

Yamaha Thailand Racing Team – 176