ARRC: Akid Buru Kemenangan Pertama Musim 2018

Pelumba Underbone 150cc, Mohd Akid Aziz mempunyai misi untuk meraih gelaran juara yang pertama pada musim ini apabila kontinjen Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) turun beraksi di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India pada 3 hingga 5 ogos ini.

Pelumba Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team itu masih belum mengecapi gelaran juara sepanjang tiga pusingan lepas namun begitu telah berjaya meraih dua podium setakat ini dengan gelaran naib juara di Suzuka dan ketiga sewaktu di Australia.

Pada ketika ini, Akid yang juga merupakan juara bertahan berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 71 mata, 23 mata ketinggalan kepada pendahulu, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing Team).

“Rakan sepasukan, Md Haziq Fairues telah memenangi perlumbaan sewaktu di Australia, ini menunjukkan jentera kami kekal kompetitif pada musim ini. Saya yakin yang saya juga mampu untuk menaiki podium sebagai juara pada baki tiga lagi pusingan musim ini,” jelas Akid.

Tambahnya, “Saya juga tidak begitu bimbang tentang usaha untuk mempertahankan gelaran keseluruhan kerana jurang perbezaan mata masih belum begitu jauh.

“Paling penting saya mahu mencari kemenangan pertama terlebih dahulu di India minggu ini dan kemudian barulah saya memikirkan tentang strategi untuk mempertahankan gelaran keseluruhan.”