Apa yang berlaku kepada Valentino Rossi dan Franco Morbidelli?

Perlumbaan pembukaan musim MotoGP 2021 di Litar Antarabangsa Losail merupakan penampilan pertama Valentino Rossi sebagai pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing. Valentino Rossi bermula dari petak ke 4, namun menamatkan perlumbaan di posisi ke-12. Rakan sepasukan, Franco Morbidelli turut menghadapi perlumbaan yang sukar semalam, dan menamatkan perlumbaan di posisi ke-18.

Persoalannya, apa sebenarnya yang berlaku?

Menurut Valentino Rossi, beliau menghadapi masalah tekanan berlebihan pada tayar belakang yang menyebabkan beliau turun ke posisi 12.

“Sudah pasti saya mengharapkan lebih, terutama selepas sesi kelayakan semalam, tetapi dalam perlumbaan saya menghadapi kesukara selepas beberapa pusingan kerana menghadapi masalah dengan tayar,” jelas Rossi.

“Perkara ini turut berlaku pada hari Jumaat (sesi latihan). Kami cuba melakukan sesuatu namun kami tidak berjaya memperbaiki masalah tersebut. Atas sebab tertentu, tekanan berlebihan di tayar belakang menyebabkan tayar hilang cengkaman, dan selepas beberapa pusingan, saya tidak dapat pergi dengan lebih laju”

“Kami berharap hari ini (perlumbaan) kami akan menghadapi masalah yang lebih sedikit kerana suhu lebih sejuk, namun situasu tetap sama dan perlumbaan menjadi sukar. Saya menghadapi kesukaran (dalam perlumbaan), dan saya hilang banyak posisi”

Ketika diajukan soalan berkenaan dengan Franco Morbidelli, Valentino Rossi berkata,

“Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada Franco, saya rasa dia mempunyai masalah dengan jentera,”

Franco Morbidelli pula memulakan perlumbaan dari petak ke-7, namun turun hingga ke posisi ke-20 selepas empat pusingan, dan menamatkan perlumbaan di posisi ke-18.

Dalam sesi temu bual, Morbidelli mengesahkan beliau menghadapi masalah teknikal pada jentera spesifikasi-A beliau,

“Bahagian belakang jentera terasa ‘kosong’ – seakan saya tidak boleh membelok. Saya boleh membelok, tetapi saya terpaksa berlumba dengan 1-saat perlahan. Saya masih boleh memecut, namun saya perlu menunggang dengan 1-saat perlahan”

“Kami menghadapi masalah di grid, namun kami putuskan untuk terus berlumba,” kata Morbidelli.

Franco Morbidelli MotoGP race, Qatar MotoGP, 28 March 2021

“Ini adalah masalah yang perlu kami kaji dengan lebih teliti kerana saya rasa perkara ini turut terjadi juga pada hujung minggu (sepanjang sesi latihan / kelayakan), tetapi sewakti perlumbaan kami dapat lihat dengan jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena, dan akhirnya kami terpaksa hadapi perlumbaan yang sukar”

Walaupun tidak berjaya menamatkan perlumbaan di posisi yang baik, Franco Morbidelli memutuskan untuk berlumba sehingga perlumbaan tamat bagi menghormati pasukan dan juga mereka yang berkerja bersama Franco Morbidelli. Turut menambah perkara tersebut juga perlu bagi mengkaji masalah yang beliau hadapi dengan lebih baik.

Pada hujung minggu ini, perlumbaan kedua Qatar, juga dikenali sebagai #DohaGP akan bermula pada 2 hingga 4 April, di litar yang sama.

Franco Morbidelli, MotoGP race, Qatar MotoGP 28 March 202