7 mata berharga buat Hafizh Syahrin di Brno

Gambar: Pasukan Aspar

Pelumba negara, Hafizh Syahrin menamatkan perlumbaan di tempat ke-9 di Litar Brno, yang sekaligus mengutip 7 mata di perlumbaan semalam. Hafizh Syahrin berjaya mencatat masa ke-4 terpantas di sesi kelayakan Moto2, namun gagal memulakan perlumbaan dengan baik atas faktor enjin. Memberi ulasan mengenai perlumbaan di Brno, Hafizh berkata, walaupun mendapat tempat ke-9, beliau tetap bersyukur dan dapat mengutip mata.

“Syukur alhamdulillah, saya mendapat tempat ke-9. Tapi di perlumbaan tadi, agak kurang baik bagi saya sebab permulaan perlumbaan saya tidak begitu cantik. Bila saya mula, enjin saya tidak dapat mengeluarkan kuasa sebanyak yang mungkin. Pasukan telah pun membuat yang terbaik”

“Enjin yang saya pakai di Brno tidak sama dengan enjin di Jerez. Enjin di Jerez ada skru yang patah di dalam, jadi syarikat yang memberi enjin tersebut menggantikan dengan enjin yang lain. Enjin di Brno kurang baik berbanding enjin di Jerez”

“Saya sudah cuba yang terbaik di perlumbaan. Rentak perlumbaan saya tadi boleh untuk berada di 5 pelumba teratas, tetapi agak sukar. Saya tidak boleh memintas pelumba di jalan lurus, terpaksa untuk rapat dengan pelumba lain sewaktu di selekoh. Saya terima banyak amaran yang saya hampir terbabas”

“Jadi, saya cuba untuk terus berada bersama jentera, dan berjaya menamatkan perlumbaan di posisi ke-9. Tu pun, syukur, alhamdulillah. Kita akan bersaing untuk perlumbaan seterusnya, dan memperbaiki kelemahan”

Pusingan perlumbaan MotoGP yang seterusnya adalah pada 16 Ogos 2020, di Litar Red Bull, Austria.